Mural Ekspresi Sempena Hari Peneroka Penuh Sehari
SESUATU yang ‘curi’ tumpuan ramai pengunjung pada program Ekspresi Felda Negaraku Malaysia sempena Hari Peneroka 2017 di Putrajaya kali ini ialah kewujudan satu papan kosong warna putih.
Dinamakan sebagai Mural Ekspresi Felda, papan setinggi dua meter itu diletakkan strategik di dalam sebuah khemah pameran yang disertai puluhan pempamer dari kalangan badan kerajaan mahu pun usahawan Felda.
Apa yang menarik, meskipun mural itu julung kali disediakan, sambutannya amat luar biasa apabila sudah berjaya dipenuhi dengan ribuan tandatangan pengunjung yang ingin menonjolkan sokongan mereka kepada agensi itu.
Tinjauan pada Sabtu iaitu hari kedua sambutan diadakan sebelum berakhir Ahad mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang menukil catatan termasuk ayat sokongan terhadap Felda dalam membela nasib peneroka.
Umum mengetahui agensi skim tanah terbesar dan paling berjaya di dunia itu kebelakangan ini sering ‘diserang’ pembangkang dengan pelbagai tohmahan jahat yang berbaur politik demi meraih undi masyarakat peneroka.
Namun situasi pada mural itu membuktikan pengunjung yang hadir ke khemah tersebut tidak melepaskan peluang sebaik diberi pen marker untuk menurunkan tandatangan beserta ucapan penghargaan mereka kepada Felda.
Ada individu hanya dikenali sebagai Saifulnizam menurunkan tandatangan dengan ucapan unik bahawa dia amat menyayangi sebuah tanah rancangan Felda yang terdapat di Melaka.
“I love Felda Bukit Senggeh, Melaka, anak Felda, Saifulnizam dan Radia,” tulis pengunjung berkenaan. Kemudian seorang lagi individu pula menulis bahawa dia berdoa supaya skim tanah Felda terus hidup di mercu dunia.
“Hidup terus hidup di mercu dunia, Felda dan generasinya,” kata pengunjung bernama Syam. Mural berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada hari pertama sambutan semalam.
Sementara itu, khemah besar tersebut yang menempatkan gerai utama semua wilayah Felda dan usahawan Felda meriah dipenuhi pengunjung yang sanggup berjalan ke seluruh khemah untuk meninjau gerai-gerai yang ada.
Pelbagai jenis produk dijual dan dipamerkan kepada orang ramai dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran ternyata menerima sambutan amat baik. Esok adalah hari terakhir karnival berkenaan. – Mynewshub.cc
Loading...
Alamat link terkait :Mural Ekspresi Sempena Hari Peneroka Penuh Sehari
0 Response to "Mural Ekspresi Sempena Hari Peneroka Penuh Sehari"
Posting Komentar