Insentif Diumumkan Besar Nilainya Buat Peneroka
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah besar nilainya buat setiap peneroka felda di seluruh negara.
Menurut Razali, jika dilihat dan dikaji keenam-enam insentif itu, kesemuanya memberikan imbuhan dari segi jangka pendek, sederhana dan panjang buat peneroka itu sendiri.
“Enam insentif yang dikemukakan kepada kami (peneroka), saya percaya mereka sangat gembira tetapi ada dua perkara penting iaitu untuk meringankan beban kehidupan di kawasan rancangan.
“Sebahagian besar daripada insentif yang diumumkan mengenai pengurangan tanggungan iaitu hutang-hutang lama dan hutang yang sangat besar yang ditanggung oleh para peneroka termasuk hutang saham FGV.
“Ini perkara-perkara yang tidak nampak secara terus tetapi sebenarnya jauh lebih besar nilainya daripada insentif yang keenam iaitu bayaran tunai RM5,000.
“Jadi kalau kita tengok sebenarnya ada pengumuman untuk jangka masa pendek, ada juga pengumuman untuk jangka masa sederhana dan panjang,” katanya semasa sesi sidang media sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 yang diadakan di sini hari ini.
Dalam pengumuman itu, perdana menteri ‘memberikan hadiah’ buat 94,956 peneroka felda seluruh Malaysia imbuhan wang tunai RM5,000 yang bakal diterima penghujung bulan Ogos ini.
Selain itu, Najib turut mengumumkan insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.
Selain itu, dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula turut diwujudkan melibatkan peruntukan RM300 juta bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2017 hingga 2021 bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.
Menurut Razali jika diperhatikan secara halus, insentif pelupusan hutang lebih besar nilainya buat peneroka dari segi tempoh jangka masa panjang jika dibandingkan dengan imbuhan wang tunai RM5,000.
“Contoh pengumuman untuk jangka masa panjang adalah pembiayaan yang akan dikeluarkan melalui MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) bagi urusan tanam semula kawasan felda yang terlibat dari tahun hadapan sehingga tahun 2020.
“Dana bantuan kerajaan seperti itu termasuk prasarana paip dan jalan raya sebenarnya memberi manfaat secara tidak langsung kepada para peneroka yang nilainya amat besar,” kata beliau lagi.
Razali turut menekankan bagaimana kerajaan terus berusaha untuk memastikan kerja-kerja peneroka dapat memberikan hasil yang sewajarnya menerusi mutu kerja yang berintergriti.
Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2017 dilancarkan perdana menteri pagi tadi, turut hadir pada majlis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan menteri-menteri kabinet.
Karnival tiga hari yang berlangsung sejak Jumaat lalu telah menarik puluhan ribu pengunjung bagi melihat sendiri pameran, gerai jualan murah dan produk-produk Industri Kecil & Sederhana (IKS) yang ditawarkan oleh anak-anak felda. – MYNEWSHUB.CC
Loading...
Alamat link terkait :Insentif Diumumkan Besar Nilainya Buat Peneroka
0 Response to "Insentif Diumumkan Besar Nilainya Buat Peneroka"
Posting Komentar